
Memantapkan Peranan Media Baru Menjelang Pilihanraya
Kini, CMK merasakan sudah terpanggil untuk sama-sama membina kekuatan dalam mencipta kejayaan untuk melihat kebenaran dan keadilan tertegak di bumi tercinta ini. Justeru itulah, dengan rasa rendah diri CMK bersedia untuk menawarkan diri bagi mengisi salah satu jawatan penting dalam kepimpinan anak muda tidak lama lagi. Mungkin ramai yang terkejut dengan kenyataan ini, kerana melihat CMK lebih selesa berada di belakang tabir perjuangan itu sendiri. Namun, apalah erti perjuangan jika CMK gagal untu memainkan peranan dalam memberi harapan baru kepada gerakan anak muda di negara ini. Masa yang terlalu lama untuk CMK berjuang menerusi alam siber perlulah di manfaatkan sepenuhnya untuk memantapkan parti itu secara keseluruhannya. CMK melihat, masih ada ruang-ruang yang perlu diperbetulkan jika mahu melihat misi menawan Putrajaya itu membuangkan hasilnya dalam masa terdekat ini. Malah, selepas gelombang tsunami politik 2008 lalu sememangnya jelas membuktikan bahawa peranan media alternatif terutamanya blog berjaya meruntuhkan tembok kekuasaan UMNO Barisan Nasional itu sebenarnya.
Perang Siber, Melancarkan Misi "Satu Cabang Satu Blog"
Cuma, selepas pilihanraya umum lalu masih jelas dapat dilihat bahawa kecernaan terhadap media baru itu masih ditahap biasa, sedangkan pihak lawan terus menggembelingkan tenaga mereka untuk menjuarai apa yang dipanggil "perang siber". Mereka menyusun strategi dan tatacara yang sistematik untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Mereka tahu bahawa jutaan pengundi muda yang majoritinya celik ICT akan menjadi penentu ke arah kejayaan dalam pilihanraya umum akan datang. Selaras dengan itulah, CMK amat berharap untuk dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin atas segala kepakaran dan pengalaman yang ada, bagi membentuk satu "Team ICT Pakatan Rakyat" yang benar-benar digeruni oleh UMNO BN. Selama ini, sudah banyak kali CMK cuba untuk menyumbangkan buah fikiran dan tenaga ke arah itu. Namun, mungkin dek kerana keupayaan dan suara "dari luar" sukar untuk didengari apatah lagi diberi perhatian oleh kepimpinan sedia ada maka akhirnya hasrat tersebut terkubur begitu sahaja. CMK berhasrat untuk membantu anak muda keadilan agar benar-benar mantap dan bersedia untuk menyahut cabaran bagi menggalas tanggungjawab memperkukuhkan pemahaman tentang ICT dikalangan generasi muda hari ini. Misi utama CMK ialah untuk mewujudkan jaringan ICT yang meluas dikalangan anak muda diperingkat cabang mahu pun ranting-ranting di seluruh negara. CMK bersedia menggerakakkan kempen "Satu Cabang Satu Blog" agar ianya dapat memberi gambaran yang jelas tentang aktiviti dan perjuangan parti dari segenap sudut. Semua ini memerlukan komitmen, tenaga dan masa. Maka itulah, CMK perlu berada didalam saf kempimpinan untuk mengetuai agenda perubahan yang ingin dibawa bagi memantapkan perang siber itu.

Berita tangkapan CMK dalam akhbar Suara Keadilan pada tahun 2007

Laporan polis yang dibuat CMK tentang kes penyelewengan kerajaan
Pengalaman Pahit Manis Dalam Meniti Arus Perjuangan
CMK melihat, iklim politik di Malaysia hari ini sudah jauh berbeza di awal gerakan reformasi dulu. Malah perubahan minda rakyat juga telah mendorong kebenaran dan keadilan itu tertegak jua akhirnya. CMK amat terharu dengan perkembangan ini. CMK bukanlah seorang pejuang politik seperti rakan-rakan yang lain sebelum ini. Namun begitu, CMK rasa sekarang masa yang paling sesuai untuk membina keyakinan dan meneruskan agenda perubahan buat rakyat sebenarnya. Terlalu banyak kenangan CMK sejak terlibat dengan gerakan reformasi ini sebenarnya. Pancutan gas pemedih mata, semburan water canon, diburu seperti penjenayah, ditekan, diugut dan diancam dengan berbagai gertakan telah CMK terima. Namun kenangan paling pahit ialah ketika ditangkap oleh 8 orang anggota polis dalam satu serbuan pada 24 Disember 2007. Berita tersebut telah disiarkan dalam banyak laman blog. CMK dipukul, diugut dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka dengan tangan yang bergari.
Manakala itu, kenangan manis CMK pula ialah ketika menjadi juruhebah Majlis Perkahwinan Nurul Izzah Anwar di Bukit Damansara dulu. Malah CMK juga telah terlibat dalam banyak acara yang melibatkan pimpinan tertinggi parti sama ada menjadi Juruhebah atau pun Pengacara Majlis sebelum ini. Dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu, CMK telah terpilih sebagai calon mewakili PKR untuk kerusi DUN Kemayan, Parlimen Bera. Hubungan CMK dengan ramai pemimpin politik baik pembangkang mahupun kerajaan agak rapat. Ini kerana ayahanda dan bonda CMK adalah merupakan antara pemimpin utama UMNO setempat sejak saya kecil lagi. Bahkan CMK juga sering mengendalikan majlis-majlis keramaian dan acara besar yang melibatkan pemimpin tertinggi negeri dan negara. CMK juga pernah menjadi penulis sambilan dibeberapa buah akhbar tabloid sebelum ini dan pernah terlibat dengan berbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Pengalaman Politik, NGO Dan Aktiviti Kemasyarakatan

Kalah Menang Bukanlah Alasan Untuk Jadi Penghalang
Susulan kenyataan CMK ini, ramai juga sahabat yang mempertikaikan dan mahu CMK terus seperti biasa macam sekarang. Tapi bagi CMK, inilah masanya untuk CMK perkenalkan diri menerusi ruang politik kepada rakyat Malaysia. Sebelum ini, medium "blogger" yang lebih mengangkat nama CMK ke persada maya. Namun, sejak CMK mula berjinak-jinak dengan ceramah politik atas jemputan PAS di Pahang maka CMK merasakan sudah tiba masanya untuk naik ke pentas itu. Setakat ini, CMK mungkin tidak mempunyai proksi yang benar-benar tulin dan sebolehnya bukan itu matlamat CMK. Justeru itu CMK akan menyokong siapa sahaja yang dilantik sebagai Ketua AMK Pusat nanti. Malah, kerjasama tetap akan diteruskan dengan sesiapa sahaja. CMK juga tidak perlu untuk menjatuhkan sesiapa kerana setakat ini CMK tidak tahu apakah potensi yang ada atau sebaliknya. Jika kalah sekali pun CMK tetap seperti biasa dan akan meneruskan perjuangan menerusi wadah ini. Namun, besar harapan CMK untuk duduk sebaris dengan kepimpinan anak muda yang bakal menerajui pergerakan itu selepas ini. CMK mengharapkan sokongan semua pihak untuk membantu bagi merealisasikan hasrat ini. Cabaran yang lebih besar menanti di depan sana. Oleh itu perjuangan harus diteruskan biar apa jua sekali pun. Salam Perjuangan buat semua perwakilan AMK!
0 Komen Artikel Ini:
Post a Comment