SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Ladang Hutan, Projek Kemusnahan Alam Sekitar 'Berhemah' Yang Memperkayakan Proksi Dan Kroni Pembesar !

 

Kabinet Malaysia pada bulan Mac 2005 telah meluluskan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH), bagi menukarkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikira sebagai “hutan miskin” kepada hutan yang kaya dengan sumber ekonomi, dengan membentuk ladang bagi satu-satu jenis tanaman sahaja.

Inilah punca kebanyakkan ladang hutan di tanam dengan kelapa sawit, musang king dan gerharu. Ia menjadi sumber kemewahan pembesar negeri, proksi dan kroni mereka. 

Dalam proses ini, kawasan HSK yang besar perlu dibuka dan program ini melibatkan 375,000 hektar kawasan hutan, dengan pembukaan sebanyak 25,000 hektar setahun.

Menurut projek ini, pihak kerajaan masih mengklasifikasikan ladang hutan ini sebagai hutan di dalam HSK, termasuk di dalam rekod dan juga statistik.

Namun hakikatnya ini ialah ladang monokultur di dalam HSK yang mana persekitarannya jauh berbeza daripada hutan yang biasa. Logikkah sehingga 375,000 hektar HSK kita dilabel miskin?

Seperti yang kita tahu, dengan iklim tropika di negara kita, hutan kita sangatlah kaya dengan biodiversiti. Kita dapat lihat ribuan jenis spesies hidupan yang berbeza, sama ada mamalia, serangga, kulat, tanaman herba, pokok kayu-kayan dan banyak lagi.

Penebangan kawasan hutan secara besar-besaran ini secara langsung bukan saja menghapuskan habitat mereka, malah spesies mereka juga turut akan terancam.

Setiap spesies memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan ekosistem, dan dengan berkurangnya kepelbagaian hidupan ini bermaksud berkurangnya kestabilan dalam ekosistem.

Mungkin kita tidak nampak pentingnya kepelbagaian bio dalam hutan kita, kerana kita sudah terbiasa dengan ekosistem kehidupan di kawasan tempat tinggal kita.

Dalam kalangan masyarakat kita, ada yang bekerja sebagai bomba, ada yang menjadi guru, ada yang menghantar makanan, ada polis yang menjaga keselamatan masyarakat, ada yang bersaing dalam perniagaan, dan lain-lain. Perkara-perkara inilah yang membentuk kestabilan “ekosistem” kehidupan kita.

Kurangnya satu elemen akan membuatkan kitar hidupan kita kurang stabil. Begitu juga di kawasan hutan. 

Ada yang berperanan sebagai penyebar biji benih, gajah yang besar menjadi jurutera membentuk lanskap, persaingan antara haiwan bagi mendapatkan makanan, pokok-pokok besar dengan akar yang kuat mencengkam tanah, interaksi mutualistik antara kulat dan tumbuhan, dan banyak lagi. Kurangnya satu elemen, kuranglah kestabilan.

Maka dengan hilangnya elemen-elemen penting ini dalam suatu kawasan, maka para peladang perlu mencari jalan yang artifisial bagi menggantikan fungsi dan servis ekosistem yang sepatutnya wujud secara semula jadi.

Hal ini kerana mereka telah kehilangan sistem kawalan biologi di kawasan tersebut, termasuklah serangga-serangga dan tumbuhan tertentu yang berperanan sebagai pengawal melawan makhluk perosak.

Keadaan akan menjadi lebih teruk di kawasan berbukit, bilamana tiada lagi akar pokok yang kuat untuk mencengkam tanah daripada hakisan, memaksa para peladang untuk membina benteng, membina dinding konkrit pada cerun, mewujudkan sistem perparitan yang ditanam di bawah tanah untuk mengawal aliran air hujan dan banyak lagi.

Semua ini memakan kos yang agak tinggi, yang mana secara logik akalnya semua servis ini disediakan secara percuma oleh Sang Pencipta secara semulajadi.

Kegiatan meneroka HSK dengan ghairah ini turut mengakibatkan konflik antara manusia dan haiwan liar. Sebagaimana pada bulan Oktober 2019 yang lalu, terdapat lebih 180 kes gajah keluar dari habitat asal bagi mencari makanan.

Kebanyakan gajah tersebut dilaporkan keluar dari hutan-hutan simpan sekitar negeri Pahang, seperti Hutan Simpan Kemasul (Temerloh), Hutan Simpan Kota Gelanggi (Jerantut) dan juga Hutan Simpan Lesong di Rompin. Menurut PERHILITAN negeri Pahang, habitat asal gajah-gajah tersebut diteroka untuk membuat ladang dan kebun.

Apa yang pasti, 'Ladang Hutan' adalah satu projek gagal yang jelas sekali bertujuan untuk memperkayakan proksi dan kroni pembesar sebenarnya. Sebab itu segala perturan dilanggar dan akhirnya telah menyusahkan rakyat marhaen bila berlaku tanah runtuh, banjir lumpur dan balak hanyut. Moga kerajaan sedar kesilapan ini. 

0 Komen Artikel Ini: