Assalamualaikum WBT dan Salam Ramadan Al-Mubarak buat semua,
Saya tertarik untuk mengulas serangan dan kecaman yang dibuat oleh netizen di media sosial terhadap Menteri Besar Pahang Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, susulan pengumumannya tentang Bantuan Khas Aidilfitri 2023 baru-baru ini.
Rata-rata mendakwa Kerajaan Pahang tidak adil soal nilai agihan bantuan tersebut dan ada pula yang kecewa kerana ia tidak diberikan kepada majoriti rakyat yang memerlukan di saat menjelangnya sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Dilaporkan bantuan khas sebanyak RM1,200 seorang diberikan kepada semua 8,000 penjawat awam negeri ini.
Selain penjawat awam, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan bantuan kewangan itu kepada empat lagi kategori penerima melibatkan nilai RM500 dan RM200.
Bantuan khas sebanyak RM500 juga turut diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKKR), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan Tok Batin manakala RM200 kepada Setiausaha JPKK, yang keseluruhannya melibatkan 2,773 orang.
Selain itu, bantuan RM200 juga diberikan kepada 700 anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 4,500 pesara kerajaan negeri dan 7,000 ibu tunggal miskin di negeri ini.
Terbaharu, bantuan khas tambahan turut diberikan kepada 2,711 orang terdiri daripada imam, bilal dan siak masjid di negeri ini yang membabitkan peruntukan berjumlah RM640,200.
Daripada jumlah tersebut, seramai 980 imam masjid bakal menerima RM300 setiap seorang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM294,000.
Bilal pula menerima RM200 setiap seorang yang melibatkan 877 penerima dengan jumlah peruntukan RM175,400.
Manakala, Siak masjid pula akan menerima RM200 setiap seorang yang melibatkan 854 orang penerima dengan jumlah peruntukan RM170,800.
Ini bermakna Bantuan khas ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM13.59 juta dengan jumlah keseluruhan penerima seramai 25,684 orang.
Persoalannya, kenapa ada suara-suara sumbang yang terus berbunyi dan tidak berpuas hati terhadap Kerajaan Pahang?. Mereka terus mengeluarkan tohmahan dan kutukan, kononnya 'pilih kasih' dan 'double standard'.
Benarkah kerajaan negeri bersikap sedemikian rupa? Justeru, saya mahu cuba memperbetulkan persepsi buruk yang dilontarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Pertama; Kenapa bantuan tidak diberi kepada seluruh rakyat? Mana mungkin ada mana-mana kerajaan yang boleh berikan bantuan kepada semua pihak tanpa mengambilkira latarbelakang mereka.
Jika berbuat demikian, pasti implikasi kewangan yang lebih besar jumlah terpaksa digunakan. Kerajaan juga ada tanggungjawab lain dalam membangunkan negeri, jika semua dana yang ada diagihkan kepada seluruh rakyat, bukankah ia boleh menjejaskan kewangan negeri itu sendiri sebenarnya.
Maka itulah, hanya kategori terpilih yang menerimanya. Kategori tersebut pula terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menyumbang khidmat dan jasa kepada kerajaan seperti kakitangan awam, pesara, ahli jawatankuasa penduduk dan masjid dalam sesuatu kawasan. Kategori seterusnya ialah golongan asnaf yang memerlukan seperti anak yatim dan ibu tunggal miskin.
Maka itulah peruntukan disediakan mengikut bilangan mereka yang berdaftar dan telah disahkan oleh agensi yang berkenaan sahaja.
Kedua; Kenapa bantuan kakitangan awam negeri lebih tinggi daripada kategori lain, sedangkan mereka ada gaji tetap bulanan?
Semua pihak harus sedar dan ingat bahawa kakitangan awam adalah pihak yang membantu kerajaan selama ini. Malah, dua tahun berturut-turut kerajaan negeri berjaya mendapatkan kutipan hasil cukai sehingga melepasi angka RM1 bilion.
Makna, kakitangan kerajaanlah yang banyak membantu ekonomi dan pembangunan negeri secara keseluruhannya. Bukan golongan ibu tunggal atau sebagainya. Makanya, tidak salah kerajaan negeri memberi bantuan khas yang besar kepada mereka, kerana tanpa mereka segala aspek pentadbiran kerajaan akan terjejas.
Kenapa perlu ada ibu tunggal yang bising, kononnya tidak adil? Padahal golongan terbabit ada diantara mereka yang menerima bantuan bulanan daripada agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pun Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Maka bersyukurlah atas keprihatinan kerajaan negeri menghulurkan juga Bantuan Khas Aidilfitri ini untuk meringankan bebanan mereka bagi menyediakan persiapan raya.
Ketiga; Ada pekerja swasta yang rasa tidak puas hati dan menganggap tidak adil kerana mereka lebih banyak membayar cukai kepada kerajaan dan sepatutnya turut mendapat bantuan sama seperti kakitangan awam?.
Bagi menjawabnya, saya melihat tidak perlu dijadikan isu tentang perkara ini. Selama ini, setiap tahun pekerja swasta menikmati ganjaran bonus tahunan dan gaji yang tinggi, apakah semua itu dipertikaikan oleh kakitangan awam?.
Malah, kita ada dengar sesetengah syarikat mereka dapat bonus tahunan hingga enam bulan atau setahun gaji. Pernahkah kita pertikaikan? Maka sepatutnya mereka mohon syarikat swasta yang terbabit turut sediakan Bantuan Khas Aidilfitri seperti yang diberikan oleh kerajaan.
Tidak perlu iri hati atau berdengki dengan membuat berbagai-bagai tohmahan liar dengan niat semata-mata untuk menjatuhkan imej kerajaan itu sendiri sebenarnya.
Keempat; Kerajaan tidak adil dan pilih kasih dan mengagihkan Bantuan Khas Aidilfitri kepada pihak tertentu sahaja.
Bagi menjawab isu ini, saya nak tanya adakah kerajaan senarai hitamkan siapa yang patut dapat dan siapakah yang patut tidak dapat?. Walhal jika dilihat kepada kategori tersebut, ada ramai individu yang secara jelas tidak menyokong kerajaan atau dalam erti kata lain 'penyokong pembangkang'.
Malahan, Kerajaan Pahang pimpinan Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail itu sendiri hampir tumbang gara-gara kempen penolakan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu. Tapi, apakah kerajaan membeza-bezakan siapa yang patut dapat atau tidak?
Pesara kerajaan misalnya, berapa ramai ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 lalu?
Begitu juga kategori Imam, Bilal dan Siak. Berapa ramai diantara mereka penyokong pembangkang? Malahan ada sesetengah masjid majoriti ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli PAS terutamanya di kawasan Felda dan kampung-kampung.
Malah, hingga ke hari ini kuliah, tazkirah dan ceramah agama di masjid berkenaan masih mengundang penceramah yang pro pembangkang sebenarnya.
Boleh sahaja, kerajaan negeri arahkan pihak berkuasa agama menyenarai hitamkan masjid terbabit agar tidak diberikan sumbangan Bantuan Khas Aidilfitri ini. Apakah kerajaan negeri berbuat demikian?
Ini bermakna, kepimpinan Wan Rosdy tidak mengamalkan sikap pilih kasih terhadap agihan bantuan khas ini. Ia berbeza dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang dihentikan sejak awal tahun lalu, kerana ada sebab tertentu kerajaan terpaksa berbuat demikian.
Kesimpulan; Maka dengan ini saya rasa tidak perlulah netizen cuba melemparkan tohmahan dengan memburuk-burukkan kerajaan negeri dalam isu Bantuan Khas Aidilfitri ini.
Berlapang dadalah, kerana rezeki Allah yang tentukan. Jika tidak dapat cara ini, mungkin dikemudian hari ada kaedah yang anda pula akan menerimanya.
Apa yang jelas dapat dilihat sekarang kebanyakkan individu yang menyerang kerajaan ini ialah kumpulan yang pada dasarnya memang tidak menyokong kerajaan.
Apa sahaja yang kerajaan ini lakukan, pasti akan ditentang habis-habisan hatta benda yang membawa kebaikan untuk rakyat marhaen itu sendiri.
Justeru, diharap rakyat yang lain tidak termakan dengan tohmahan liar pihak terbabit. Ketahuilah, sesungguhnya Kerajaan Pahang pimpinan Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail amat prihatin dan cakna dengan seluruh rakyatnya.
Majulah Pahang Ku by:
BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)
0 Komen Artikel Ini:
Post a Comment